Saturday, March 21, 2009

Pantun Nasihat

Pungguk menangis dalam kerinduan,
Purnama bersinar di muka bumi,
Dunia kini telah dihancurkan,
Oleh tangan manusia sendiri.

Bumi menyepi direnung hiba,
Angin membisu disinari mentari,
Hancur terbakar di tangan manusia,
Kenapa dunia dibuat begini.

Insan terlena berlumuran dosa,
Bumi menangis dibakar api,
Insan dicipta memakmurkan dunia,
Kenapa mungkar membelut diri.

Ilmu akhirat baik belajar,
Untuk persiapan diri abadi,
Kenapa dunia mahu dikejar,
Kita dilahirkan untuk mengabdi.

Beras pulut dibuatkan bubur,
Untuk bekalan pergi ke laut,
Sebelum jasad hancur dan lebur,
Apa persiapan menghadapi maut.

Di sana sini ditimpa gempa,
Ombak besar sering menghambat,
Sebelum ajal datang menimpa,
Insafi diri sebelum terlambat.

Pahit maung suka dan duka,
Hanya terbiar dipandang mata,
Segala rahsia habis terbuka,
Jasad yang kaku pandai berkata.

Apabila tua mata pun kabur,
Ingati diri sayangi saudara,
Amal dibongkar di dalam kubur,
Amalan di dunia pasti dikira.

Di kala muda olahnya ligat,
Penyakit belarui payah diubat,
Al-Quran dan Sunnah memberi ingat,
Sebelum terlambat baik bertaubat.

Jalan orang selalu dipapat,
Busuknya hati tidak ketara,
Apa dikejar mudah didapat,
Dunia disusur hanya sementara.

No comments:

Post a Comment

Ahlan Wasahlan Wamarhaban Bikum

Terima kasih kerana sudi melawat blog saya. Jika anda ada apa-apa saranan ataupun soalan, sila nyatakan komen anda ya! =)